JOHOR BAHRU: Mana-mana ahli Pas tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti ingin mengajar dan mencampuri urusan UMNO, kerana seolah-olah sengaja mahu menyinggung hati ahli parti Melayu terbesar itu.

Demikian disuarakan Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan yang berkata, jika Pas ingin mengeluarkan kenyataan, ia seharusnya dilakukan dengan berhemah dan tidak bersifat menyerang.

Tegasnya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sentiasa mengambil pandangan yang pelbagai dari luar dan dalam, namun untuk tunduk kepada tekanan daripada parti luar, tidak sama sekali.

“Tuduhan demi tuduhan dilemparkan terhadap UMNO. UMNO rakus. UMNO perlu dirawat dengan kekalahan. UMNO perlu sedar ia tidak ada pilihan melainkan bersama dengan Pas dan Bersatu.

"UMNO tak boleh dapat kerusi sehingga boleh memimpin sendiri tanpa Pas dan Bersatu. Dan pelbagai lagi tuduhan, tohmahan dan 'tunjuk ajar'.

“UMNO ialah parti sendiri yang akan buat keputusannya sendiri. Tiada halangan untuk parti lain beri pandangan, tapi biarlah lebih cermat dan tidak seperti mengajar UMNO apa ia boleh buat atau tidak boleh buat.

“Kami dalam MKT akan ambil pandangan yang pelbagai dalam kalangan parti dan buat ketetapan. Tetapi untuk tunduk kepada tekanan parti luar, tidak sama sekali,” katanya lagi.


Penegasan Shahril itu merujuk kepada kenyataan yang dibuat Ahli Dewan Ulamak Pas, Mokhtar Senik, yang mendakwa Umno kembali ke cara lamanya iaitu tamak kuasa.

Ia susulan kejayaan UMNO kembali memperolehi jawatan Perdana Menteri, serta kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lepas.

Beberapa portal media melaporkan Mokhtar sebagai berkata, UMNO bagaikan kacang lupakan kulit apabila mengabaikan hakikat kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini adalah hasil sokongan Pas.

"Umno sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yang mereka perolehi dalam PRK sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan Pas.

"Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, Pas berhak mempunyai cita-cita dan aspirasi, seperti mana parti-parti politik lain.

“Itu hak Pas. UMNO tak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya. Sebab itulah kami sentiasa kerja kuat dan tak memandang remeh kemampuan parti lain.

"Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang UMNO apabila Ustaz Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami.

“Dalam soal PRN Johor, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat - Pengerusi Perhubungan mahupun Timbalan Presiden hari ini - menyebut bahawa parti akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak untuk PRN,” katanya lagi.

Namun, Shahril menegaskan, UMNO tidak perlu dipersalahkan jika kenyataan seperti Mokhtar itu menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan.