JOHOR BAHRU: Susulan pelaksanaan Undi18, jumlah pengundi di negeri ini mencatatkan pertambahan kira-kira 28 peratus iaitu seramai 749,731 pengundi berusia 18 tahun.

Peningkatan jumlah itu menjadikan pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dengan peningkatan itu, berlakunya pertambahan pengundi antara 20 hingga 30 peratus di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

"Kita sedia maklum mengenai perkara ini malah sudah bersedia untuk menghadapinya sebagai cabaran dalam kancah politik. Bahkan semua Ahli Parlimen sudah ditaklimatkan mengenai jumlah pengundi yang diwartakan.

"Pendaftaran pengundi (Undi18) termasuk pengundi pertama kali sudah bermula sejak Disember lalu dan diwartakan pada 16 Januari ini.

"Jumlah pengundi ini akan bertambah selepas pendaftaran pengundi (Undi18) diwartakan secara automatik dan akan dikemas kini setiap 16 hari bulan," katanya ketika sidang media di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini, hari ini.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Terdahulu, Ahmad menghadiri program retreat dan gerak gempur jentera Kongres Islam Muslim Malaysia (KIMMA) yang turut dihadiri Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader; Setiausaha Agung KIMMA, Hussain Jamal dan Pengerusi KIMMA Johor, Datuk Anwar Sadat.

Sebelum ini, kerajaan meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.

Pada masa sama, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pertambahan pengundi itu bukan sahaja menjadi ujian buat Barisan Nasional (BN) malah turut menjadi cabaran kepada parti politik lain yang bakal bertanding.

"Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana kami juga bersetuju dan menyokong perkara ini di Dewan Rakyat, jadi, kami akan menghadapinya," katanya.