PRN Johor: MUDA umum tiga lagi calon

Shuhada Abdul Kadir
Februari 21, 2022 07:40 MYT
Pengumuman calon MUDA itu dibuat Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Labis hari ini. - Foto Astro AWANI
SEGAMAT: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terus mengorak langkah dalam rentak politik mereka dengan mengumumkan tiga lagi calon yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengumuman itu dibuat Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Labis, di sini.
Pada pengumuman itu, Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, manakala dua Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA Lim Wei Jiet, yang juga pengasas bersama MUDA dipertaruhkan di DUN Tenang dan Nurafiqah M.Zulkifli di DUN Bukit Kepong.
Syed Saddiq berkata, langkah pencalonan dibuat hari ini selaras dengan usaha MUDA untuk menampilkan pimpinan yang muda dan segar serta aktif di dalam politik khidmat kepada rakyat.
“Tentunya amat penting untuk parti mengetengahkan calon yang mempunyai khidmat yang cukup baik serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu Azrol, 40, berkata selepas 20 tahun aktif sebagai aktivis masyarakat, ini pertama kali dia menjadi calon pilihan raya dan komited untuk meneruskan misi membantu rakyat di seluruh negeri ini.
“Sebagai aktivis, tentunya saya mahu Johor menjadi negeri rujukan seluruh negara sebagai sebuah negeri yang mengutamakan politik khidmat, membangunkan potensi setiap kawasan Johor dan memastikan bahawa setiap anak Johor itu dibesarkan dengan sokongan kukuh Kerajaan Negeri,” katanya.
Wei Jiet, 31, yang juga seorang peguam berkata, dia akan membawa tiga elemen iaitu politik khidmat, politik dasar dan juga politik baru.
“Sebagai seorang peguam tentunya khidmat kepada masyarakat itu amat penting dan saya akan turun ke setiap kawasan masyarakat bagi mendengar sendiri isu-isu tempatan yang selama ini dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Nurafiqah, 31, pula berkata dengan pengalaman selama empat tahun menguruskan Parlimen Muar, dia percaya banyak lagi pembangunan yang perlu diketengahkan di kawasan DUN Bukit Kepong.
#muda #PRN Johor #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #nama calon