KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau mungkin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Katanya langkah itu bagi membolehkan beliau menumpukan sepenuh masa kepada soal yang lebih utama di peringkat Parlimen dan pusat serta mengurus hal-hal berkaitan parti.

"Saya mungkin tidak akan bertanding tapi ini terserah kepada pimpinan di atas. Jadi saya nak bagi peluang kepada ramai lagi tokoh-tokoh di Johor terutamanya untuk kerusi itu, tapi itu terserah kepada mereka nantilah, siapa nak mengisi kerusi tersebut. Kita akan putuskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu Johor berkata untuk PRN Johor semua 26 bahagian Bersatu yang menjaga 56 kawasan DUN sudah pun menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing di semua kawasan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata untuk menghadapi PRN kali ini pimpinan parti-parti gabungan PN iaitu PAS dan Gerakan berpandangan gabungan itu akan bertanding di semua kawasan DUN.

BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

"Peringkat awal ini persiapan telah bermula dan nampaknya hubungan kerjasama antara parti-parti seperti PAS memang sah dan istiqamah bersama PN, manakala dengan Gerakan dan parti-parti yang ada di Sabah tiada masalah," katanya.

Mengenai cadangan untuk PN bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Johor, beliau berkata PN bersikap terbuka untuk mendengar apa jua pandangan selagi selari dengan perjuangan PN.

Muhyiddin berkata PN akan mengatur gerak kerja mereka bagi menghadapi PRN Johor berdasarkan pengalaman di PRN Melaka dengan mengambil kira pertambahan jumlah pengundi susulan pendaftaran automatik individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Kita akan bagi perhatian serius bagaimana untuk tarik sokongan anak-anak muda, pengundi muda dan pengundi yang tidak pernah mengundi tapi telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara automatik," katanya.

Mengenai calon muda PN untuk PRN Johor, Muhyiddin berkata: "Kita nak bagi peluang kerana saya faham masa ini masa anak-anak muda tetapi gabungan muda dan lama yang matang itu agak wajar.Tidak ada satu parti yang letak semua orang muda dan ketepikan yang lama, namun ini bukan muktamad baru peringkat awal," katanya.