KUALA LUMPUR: Undi Johor di bawah inisiatif Undi Negaraku dan UNDI18 melancarkan Ops Undi Johor dalam menggalakkan penglibatan pengundi khususnya belia menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengasas Bersama UNDI18, Qyira Yusri berkata Ops Undi Johor juga digerakkan dalam usaha mengisi kelompongan yang ditinggalkan yang dikatakan akibat ketidakcekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jelasnya, SPR tidak menunjukkan sebarang petunjuk untuk menambah baik proses pilihan raya di negara ini sejak pandemik COVID-19 bermula.

“PRN Johor bukanlah PRN pertama yang diadakan semasa wabak pandemik bermula.

“Prosedur pengundian pos hendaklah dipinda untuk memastikan rakyat Malaysia di luar negara boleh mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

“Kegagalan berterusan kepimpinan di bawah Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani adalah perkara yang memalukan seluruh Suruhanjaya PRN Johor akan menyaksikan rakyat Johor mengundi dalam memilih kerajaan pilihan mereka yang akan menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ia juga merupakan pilihan raya pertama di mana mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun diiktiraf sebagai pembuat keputusan dalam proses pilihan raya kita,” katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengasas Bersama UNDI18, Tharma Pillai, Pengarah Komunikasi Research for Social Advancement (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez, dan Penyelaras Bersih 2.0, Mohd Asraf Sharafi.

Mengulas lanjut, Qyira berkata melalui Ops Undi Johor, Tabung Pulang Mengundi akan diwujudkan dalam memberi bantuan subsidi bagi menampung kos pengangkutan pelajar dan belia yang akan pulang ke Johor untuk mengundi.

Katanya, pihaknya menyasarkan membantu sekurang-kurangnya 1,000 pengundi muda untuk pulang mengundi pada pilihan raya tersebut.

Selain itu, Ops Undi Johor juga akan memudahkan undi pos di Singapura.

"Dianggarkan 200,000 rakyat Johor yang menetap di Singapura layak mengundi dalam PRN Johor akan datang.

"Undi Johor dengan ini menawarkan untuk membantu SPR bagi mengangkut undi pos dari Singapura pulang ke Malaysia. Butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan diumumkan apabila semakin hampir
dengan tarikh penamaan calon," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Qyira berkata Undi Johor turut menggesa rakyat Malaysia di luar negara yang tinggal di selatan Thailand, Brunei, Singapura, dan Kalimantan, Indonesia untuk mendaftar sebagai pengundi pos sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 18 Februari ini.

Tambah Qyira, pihaknya juga menyeru SPR untuk membenarkan rakyat Malaysia di luar negara membuang undi di kedutaan supaya memudahkan pengundi di luar negara untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Qyira berkata, SPR hendaklah bertanggungjawab dalam menjadikan proses pengundian lebih mudah untuk pengundi, dan bukan dengan mengehadkan hari pendaftaran mereka serta meminta pengundi menghantar semula undi mereka.