KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah sampai ke penghujungnya sebelum keputusan parti mana yang akan mentadbir negeri itu diketahui.

Di sebalik tempoh kempen dua minggu yang dijalankan setiap parti politik, ada juga perubahan drastik yang berlaku pada pilihan raya kali ini iaitu penggunaan media sosial.

Menurut penganalisis politik dan media dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Profesor Madya Sara Chinnasamy, perubahan itu amat baik terutama melibatkan pengundi dalam kalangan generasi muda. 

"Perbandingan Johor, Melaka dan Sarawak. Saya rasa di Johor, penggunaan media sosial terlalu tinggi. Ini suatu perkara yang mungkin disebabkan pengundi muda.

"Kita lihat penghasilan banyak klip video yang ditularkan dalam kempen kali ini suatu yang memberangsangkan, di mana kita dapat melihat sejauh mana parameter adaptasi mereka dan penggunaan media sosial," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Tambahnya, perubahan ketara itu juga amat penting dalam memastikan setiap parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti lebih bersiap sedia.

"Ini yang bakal menjadi batu loncatan untuk mereka bersiap sedia dalam PRU15 akan datang.

"Klip video ini, kalau kita lihat (contoh) di luar negara, ia memainkan peranan penting dalam meraih undi mana-mana sektor sama ada pengundi muda, tradisional atau kelas pertengahan," jelasnya lagi.

PRN Johor | Hari penentuan, siapa pilihan rakyat Johor? - Dr Sara Chinnasamy

Dalam pada itu, mengulas mengenai naratif yang digunakan setiap parti politik, jelas Prof Sara, ia lebih kepada isu integriti serta penyelewengan melibatkan ahli politik.

Tambahnya, isu-isu terbabit dijangka digunakan pada PRU15 kelak.

"Kita lihat di PRN Johor, naratif kempen dan teknik amat berbeza. Naratif ada kesinambungan (dari) PRU14. Kalau kita lihat, (ia melibatkan) permintaan dari segi kerajaan berintegriti dan bebas daripada rasuah.

"PRU14 telah meletakkan KPI ahli politik harus turun padang dan aktif bersama komuniti kawasan masing-masing," jelasnya lagi.

Ujar Prof Sara lagi, naratif yang dibawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat boleh memberi impak kepada keputusan PRN Johor kali ini.

"Naratif dibawa Tan Sri Muhyiddin dilihat akan memberi impak kepada rakyat Johor untuk memberikan kemenangan kepada PN.

"Ini salah satu keterbukaan dan kematangan yang juga sedang dialami rakyat Malaysia hari ini. Kita dah ada tiga fasa pemerintahan berbeza, jadi rakyat boleh membuat perbandingan tiga kerajaan yang telah memerintah negara kita.

"Mereka mampu menilai parti mana yang mampu menjaga kebajikan dan juga menjaga aspek sosial ekonomi rakyat di sini (Johor)," katanya lagi.