KUALA LUMPUR: Peratusan pengundi muda keluar menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dikhuatiri lebih rendah daripada jangkaan ramai pihak. 

Menurut Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM), Fauzi Fadzil, kurangnya penyertaan dan pengetahuan tentang politik oleh golongan muda  menjadi faktor utama kurangnya minat golongan itu dalam menyertai politik dan PRN Johor kali ini.

"Kalau kita tengok data Indeks Belia Malaysia, sosilisasi politik dalam kalangan belia memang rendah malah menurun setiap tahun.

"Pada tahun 2015 sosialisasi politik dalam kalangan belia hanya 46 peratus, tahun 2019 menurun 29 peratus. Isu ini bukan hanya pada PRN Melaka tapi sosilasasi politik, intenvensi pihak berwajib untuk membawa golongan belia cakna politik ini berkurangan tahun ke tahun," jelasnya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Tambah Fauzi, PRN Johor kali ini juga dijangka menunjukkan kurangnya peratusan pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka. 

"Tidak terkejut jika kita akan dapat lihat bukan hanya pengetahuan politik rendah, malah faktor kesihatan akan menyebabkan golongan beliau risau keluar mengundi.

"Pertama saya lihat (isu) dendam politik lama tidak terbawa dalam golongan berusia 18 hingga 20 tahun ini. Kalau ikut kajian dilakukan UPM, mereka lebih cenderung kepada isu pengangguran dan perumahan.

"Mereka tidak begitu cakna tentang perdebatan politik, tapi sayangnya golongan muda akan kurang terlibat dalam PRN kali ini," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Menurut data SPR, 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor nanti.

Jumlah pengundi di Johor juga mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi 18.