KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Undi18 buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadikan PRN tersebut berbeza berbanding Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, agak sukar untuk meramalkan parti mana akan mendapat sokongan golongan Undi18.

Malah beliau turut mengakui bahawa PRN Johor sangat penting untuk dijadikan sebagai indikator dan cerminan kepada semua parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

"Ya, kerana ini pertama kali dan semua parti (yang bertanding) tiada pengalaman sebegini," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, sebarang keputusan PRN Johor akan menyebabkan perubahan kepada konfigurasi politik pada PRU15, kesan kemasukan Undi18 iaitu kemunculan kuasa politik golongan muda di negara ini.

"Hatta UMNO parti yang lama pun tidak dapat menjangka dengan jelas tahap sokongan Undi18, sebab itu mereka cuba untuk menyegerakan PRN Johor agar Undi18 tidak dilaksanakan," katanya.

Untuk rekod, PRN Johor kali ini akan menyaksikan pertambahan signifikan jumlah pengundi baharu sebanyak 30 peratus, iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi18.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

*Berita asal di Sinar Harian