MELAKA: Seramai 11,557 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 pusat pengundian awal (PPA) hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

Sejumlah 21 PPA membabitkan 24 dewan undangan negeri (DUN) akan dibuka bermula jam 8 pagi dan akan ditutup 2 petang.

Manakala bagi 10 PPA lagi akan ditutup jam 5.30 petang.

Antara lokasi pusat pengundian ialah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah serta Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II.

Terdapat empat slot waktu kehadiran untuk mengundi dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi MySPR semak atau portal semakan daftar pemilih SPR.

Waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang, dan 2 hingga 4.30 petang.

Proses pengundian awal akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 di bawah pelan pemulihan negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara penstriman langsung menerusi akaun Facebook.

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 Nov ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis.