MELAKA TENGAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil sah menyaksikan persaingan empat penjuru antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan Bebas.

Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Katil Rohaya Abdullah mengumumkan, empat calon berkenaan ialah Datuk Hasnoor Husin (BN), Adly Zahari (PH), Muhammad Al Afiz Yahya (Pas), dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).

“Saya berpuas hati dengan semua borang pencalonan, dan tiada borang yang ditolak,” kata Rohaya.

Kerusi DUN Bukit Katil mempunyai 27,074 pengundi, dengan majoriti penduduknya Melayu, dan mempunyai lapan Daerah Mengundi iaitu – Bukit Beruang, Padang Jambu, Bukit Baru Dalam, Paya Ikan, Bukit Pulau, Kampungku Sayang, Taman Tun Rahah, dan Bukit Katil.

Pada pilihan raya umum lepas, Adly menewaskan pencabarnya Muhamat Puhat Bedol (Pas) dan Yunus Hitam (BN) dengan majoriti 3,159 undi, dan seterusnya menjadi Ketua Menteri Melaka.

Namun, tempoh pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan di Melaka hanya bertahan 22 bulan selepas Adly gagal mendapat kepercayaan majoriti dalam DUN Melaka.

Ia menyaksikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi Ketua Menteri ke-12.