KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan sepakat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas yang diadakan pada Isnin.

Muhyiddin memaklumkan mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen - Bersatu, Pas, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

“Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

“Bersatu, Pas dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?

Muhyiddin berkata, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti PN akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.

Majlis Tertinggi PN juga, katanya memutuskan semua parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Mereka juga diminta menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka agar mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu.

Pilihan raya Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober, langkah yang diambil selepas empat wakil kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tetap dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada sebarang pilihan raya.

Ini mendorong Muhyiddin yang kemudiannya mengumumkan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka.