ALOR GAJAH: Seorang calon Bebas yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini mendakwa didatangi ‘tawaran menarik’ yang memintanya menarik diri .

Mohd Akhir Ayob, 50, yang bakal berdepan saingan enam penjuru bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui siapakah individu berkenaan yang dipercayai menghubunginya menggunakan nombor telefon peribadi.

Beliau yang juga merupakan bekas Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) DUN Asahan, bagaimanapun menegaskan, tidak akan termakan dengan apa sahaja tawaran yang diterima.

Bahkan, Mohd Akhir juga telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) di bawah gabungan Gagasan Bebas untuk terus kekal sebagai calon Bebas meskipun sekiranya memenangi kerusi itu pada 20 November ini.

“Saya dihubungi oleh seorang individu pada tengah hari semalam (Rabu) memaklumkan ingin berjumpa saya dan tawarkan sesuatu yang ‘menarik’.

“Ketika itu saya sedang berjumpa pengundi dan individu tersebut ajak berjumpa di rumah, saya minta dia tidak libatkan isteri serta anak saya dan kemudian individu itu memaklumkan dia akan hubungi saya semula,” kata Mohd Akhir kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga pesara tentera berkata, penglibatannya dalam PRN itu bukan untuk mengejar jawatan semata-mata, sebaliknya, ingin memperbetulkan sikap wakil rakyat yang dilihat tidak benar-benar menabur khidmat kepada masyarakat.

Katanya, itu merupakan pandangannya berdasarkan pngalaman selama 22 bulan sebagai setiausaha JAPERUN ketika di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak mahu menjanjikan manifesto setinggi langit seperti apa yang dibuat wakil rakyat sebelum ini, tetapi tidak ditunaikan pun.

“Jadi, kali ini saya melabur wang ringgit saya sendiri dan sebagai anak jati sekiranya diberi mandat di DUN Asahan ini saya akan memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di sini,” tambah Mohd Akhir.

Selain Mohd Akhir sebagai calon Bebas, kerusi DUN Asahan turut ditandingi Fairul Nizam Roslan (Barisan Nasional), Danesh Basil (Perikatan Nasional), Datuk Seri Idris Haron (Pakatan Harapan) dan dua calon Bebas lain, Mohd Noor Salleh dan Azmar Abdul Hamid.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Asahan disandang oleh Datuk Seri Abdul Abdul Ghafar Atan dari Barisan Nasional dengan majoriti 275 undi.