MELAKA : Kenyataan Pengerusi Perikatan (PN) Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa zaman Barisan Nasional (BN) sudah berakhir ibarat satu penghinaan yang menyedihkan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu sedih melihat penghinaan itu dilontarkan oleh seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dokongan dan sokongan dari ahli akar umbi BN.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu menegaskan, terpulang kepada Muhyiddin untuk berkata apa sahaja, kerana pada akhirnya kelak, penyokong yang setia, lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, rakyat sudah melihat bahawa BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka sekalipun reputasi gagasan parti-parti politik itu pernah dirobek angkara fitnah dan pembohongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan dari pelbagai hala ditujukan kepada BN. Tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh pendokong dan penyokong BN di seluruh negara,” kata Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

 
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

Ahmad Zahid menulis pendapatnya itu sebagai mengulas ucapan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa sejarah BN sudah berakhir kerana rakyat lebih berpengetahuan dan celik politik.

Ketika berucap di Ceramah Umum PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu lepas, Muhyiddin berkata, rakyat kini lebih cenderung untuk melihat Malaysia terbentuk atas dasar lebih adil dan saksama.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penghinaan Pengerusi PN itu akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepadai PN bahawa sejarah BN belum berakhir.

“Dan ternyatalah keputusan akar umbi UMNO pada Perhimpunan UMNO 2020 untuk tidak bekerjasama dengan PPBM merupakan satu langkah yang tepat,” katanya lagi.

Kata-kata Muhyiddin juga disifatkan Ahmad Zahid sekaligus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar Bersatu ke atas BN dan UMNO secara umumnya.