KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana enggan bekerjasama dengan 'katak' politik' yang dicalonkan Pakatan Harapan (PH), kata presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Beliau berkata, Muda sebelum ini berhasrat bekerjasama dengan PH untuk membentuk barisan pembangkang bersatu, namun kecewa dengan keputusan PH mencalonkan individu yang bertanggungjawab menyebabkan keruntuhan kerajaan negeri Melaka.

"Sejak minggu lepas Muda telah berunding dengan PH dan ada beberapa pendekatan positif sehingga boleh ada (mewujudkan) salah satu pembangkang yang berpadu.

"Malangnya pimpinan PH ambil keputusan untuk mencalonkan 'katak-katak' politik yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka dan PRN negeri (terpaksa diadakan) di tengah-tengah musim pandemik.

“Muda menolak politik katak, politik tidak bermaruah dan Muda menolak politik yang tidak berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat susah, dan lebih RM42 juta dibazirkan untuk PRN.

“Muda telah membuat keputusan untuk tidak bersama PH dalam PRN ini kerana mengangkat politik yang tidak bermaruah,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook beliau hari ini.

BACA: PRN Melaka: Muda akan bertanding, sedang berunding dengan PH - Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar itu juga memaklumkan mereka mengambil pendirian berkecuali untuk tidak bertanding pada PRN ini dan fokus kepada PRU15 selain memperkasakan politik khidmat serta dasar di dalam dan luar Parlimen.

"Kami tidak mahu meletakkan kepentingan kerusi mendahului prinsip. Politik nilai yang harus diangkat bukan politik kerusi dan kuasa yang tidak ada batasnya yang akhirnya rakyat juga yang susah," tambahnya.

Terdahulu, PH mengumumkan mencalonkan bekas KetuaMenteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan mewakili PKR manakala Datuk Nor Azman Hassan kekal di DUN Pantai Kundor mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).