MELAKA TENGAH: Jika UMNO tewaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan teruk sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Persoalan itu dilontarkan penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu itu, selepas Muhyiddin mengakui beliau bukan pendendam, dan membiarkan pemimpin UMNO menggantikannya sebagai Perdana Menteri sewaktu krisis politik tempoh hari.

Kit Siang berkata, Muhyiddin sewaktu berucap di Ceramah Umum PRN Melaka pada Khamis, memberitahu, keputusan itu diambil biarpun Ahli Parlimen Pagoh itu mempunyai pilihan untuk membubarkan terus Parlimen.

“Muhyiddin berkata, di sebalik pilihan untuk membubarkan Parlimen, dan mengadakan Pilihan Raya Umum, beliau enggan berbuat demikian, tetapi mencadangkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri seterusnya.

“Kata Muhyiddin lagi, salah satu sebabnya ialah beliau tidak mahu Pakatan Harapan kembali memerintah. Jadi Muhyiddin perlu beritahu, adakah beliau akan terus sokong Ismail Sabri jika Bersatu ditewaskan UMNO?” soal Kit Siang lagi.

Pada PRN Melaka kali ini, sebanyak 28 kerusi DUN dipertandingkan, dengan kesemua kerusi menyaksikan sekurang-kurangnya perlawanan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula

Dalam catatan yang berasingan, Kit Siang turut mempersoalkan kelewatan Perikatan Nasional untuk mengumumkan calon Ketua Menterinya.

“Muhyiddin ada bom jangka di Melaka - ketidakupayaannya untuk mengumumkan Mas Ermieyati Samsuddin sebagai pilihan Bersatu untuk Ketua Menteri Melaka, ekoran penentangan kuat dari dalam parti.

“Bolehkan Muhyiddin, selaku Pengerusi PN, meneutralisasi bom jangka ini di Melaka?” soal Kit Siang lagi.

Pakatan Harapan sebelum ini telah menamakan Adly Zahari dari Parti Amanah Negara sebagai calon Ketua Menteri mereka, manakala Barisan Nasional memilih untuk mengekalkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari UMNO sebagai calon mereka.

Kedua-dua pemimpin politik berkenaan pernah menjawat jawatan Ketua Menteri sebelum ini.

Pemerhati politik merasakan terdapat pemimpin yang sesuai untuk PN namakan sebagai calon Ketua Menterinya, iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (calon DUN Tanjung Bidara), dan Datuk Rafiq Naizamohideen (calon DUN Telok Mas).