BANDAR HILIR: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal dakwaan gabungan parti itu tidak yakin dengan calon yang diketengahkan susulan pertikaian pihak tertentu berhubung penggunakan potret Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang kononnya lebih banyak digunakan berbanding wajah calon.

Sebaliknya tegas beliau langkah itu merupakan satu strategi jelas yang membuktikan bahawa Muhyiddin mempunyai dukungan terhadap anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara di masa akan datang.

“Bukan kita tidak yakin, namun di dalam norma baharu ini agak sukar untuk calon turun ke bawah dan mengadakan program bertemu pengundi kerana terikat dengan prosedur operasi standad (SOP) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Namun mereka ini mendukung dasar PN dan saya kira tidak salah untuk kita menonjolkan tokoh besar parti yang terbukti telah membawa satu perubahan besar dalam tempoh dua tahun kerajaan PN terbentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jualan Kraftangan Pahlawan Walk, di sini pada Selasa.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 11,557 mengundi awal hari ini

Sebelum ini Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan PN yang dilihat lebih menggunakan potret Muhyiddin sebagai bahan kempen dan bukan wajah calon adalah faktor calon yang diketengahkan merupakan calon bidan terjun.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata beliau percaya keputusan PN mempertaruhkan ramai golongan muda diyakini mampu mengangkat agenda yang digariskan parti itu dalam menjadi sebuah kerajaan yang stabil.

Jelasnya, ini juga dibuktikan dengan perkembangan positif yang diterima semua calon sepanjang tempoh sembilan hari berkempen sejak hari penamaan calon 8 November lalu.

“Saya melihat dan yakin perkembangan pengundi amat positif dan maklum balas yang diterima juga amat meyakinkan.

“Tentunya tokoh muda yang diketengahkan juga mampu membawa agenda PN dan inilah yang dimahukan oleh rakyat iaitu perubahan untuk sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab, memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan semua itu telah terbukti menerusi dasar PN,” tambahnya.