AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka ke-13, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi jaminan tidak akan menghampakan rakyat Melaka yang memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri.

Dalam sidang media awal pagi ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata, beliau beriltizam menunaikan kewajiban seperti yang diingini rakyat Melaka.

Dalam masa yang sama, katanya, beliau juga mahu menggalas aspirasi Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam untuk memasyhurkan Melaka ke persada antarabangsa.

“Sesungguhnya kepada seluruh rakyat Melaka, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga di atas kepercayaan kepada saya bagi memimpin bumi Melaka yang bertuah ini.

“Saya tidak sama sekali akan menghampakan harapan rakyat negeri ini dan berjanji memikul tanggungjawab diberikan dengan seikhlas hati,” kata Sulaiman kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu di Seri Negeri, awal pagi ini.

BACA: PRN Melaka: Sulaiman Md Ali selesai angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-13

Ditanya mengapa istiadat mengangkat sumpah itu diawalkan, Sulaiman berkata, terdapat perkara yang perlu diselesaikan dengan kadar segera, khususnya dalam urusan pentadbiran.

“(Ini supaya) kita ada waktu yang panjang untuk membuat persiapan, terutamanya pada Selasa nanti ada mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri di Kuala Lumpur.

“Selepas itu ada Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu. Masa itu agak suntuk, sebab esok (hari ini) pun sudah hari Ahad, dan banyak perkara perlu diperbincangkan dulu dengan TYT Melaka.

"Apabila sudah dimuktamadkan, baru kita bergerak. Mahu tak mahu, kena angkat sumpah malam ini juga,” katanya lagi.

Mengenai senarai barisan Exco pula, Sulaiman berkata, perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.