KLEBANG: Mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kecil di Klebang hari ini kecoh selepas kemunculan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dalam majlis itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.41 pagi ketika ahli-ahli UMNO cawangan itu mula hadir sebelum mesyuarat bermula di kediaman bekas ketua menteri Melaka itu.

Bagaimanapun, keadaan mula kecoh selepas ada antara Ahli Jawatankuasa UMNO yang mempersoalkan lokasi mesyuarat diadakan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tindakan Idris itu disifatkan seperti 'gila talak' meskipun keahlian UMNOnya telah terlucut.

"Apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Idris ini amat luar biasa, dan tidak mempunyai satu pengertian dan maknanya beliau seolah olah tidak faham bahawa mesyuarat agung UMNO mesti dihadiri ahli UMNO.

"Saya kira dia ini seolah-olah masih lagi berada dalam UMNO, seolah-olah 'gila talak' menganggap diri dia masih dalam UMNO.

"Masa sama dia bukan ahli UMNO, saya amat kesal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu," jelasnya dalam sidang media di kediamannya di Klebang pada Ahad.

Tambah Mohamad Ali, tindakan Idris itu juga dilihat hanya merendahkan nilai diri bekas Ketua Menteri Melaka itu selepas menarik sokongan daripada kerajaan negeri Melaka sebelum ini.

"Saya merasakan bahawa dia (Idris) tidak faham dan tidak mengerti prinsip orang yang mengetuai sesuatu parti.

"Kedua, dia melakukan keadaan nilai diri dia amat rendah, mencampuri urusan parti UMNO sedangkan beliau bukan ahli UMNO dan terlucut keahlian selepas meruntuhkan kerajaan pimpinan UMNO pada 4 Oktober lepas," katanya lagi.

Rampas telefon bimbit

Selain memberikan ucapan, dakwa Mohamad Ali, berlaku sedikit 'pergelutan' antara Idris dan Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad.

"Saya diberi taklimat, ada sedikit pergelutan antara Datuk Seri Idris dan Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Abdul Latip Mohamad apabila dia nak merampas telefon bimbit Setiausaha Bahagian yang menjadi pemerhati untuk bahagian.

"UMNO ini bebas dan kita minta supaya mana-mana wakil bahagian datang mengambil gambar, merakam perjalanan sesuatu mesyuarat jika diperlukan.

"Kenapa Datuk Seri Idris melakukan perbuatan tidak berdisiplin, cuba merampas telefon bimbit orang padahal ia milik Setiausaha UMNO Bahagian untuk merakam kejadian kejadian berlaku semasa mesyuarat agung," soalnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Latip ketika ditemui Astro AWANI turut menceritakan insiden itu.

"Idris tidak benarkan saya buat rakaman guna telefon bimbit, dia kata SU Bahagian berkomplot untuk buat kecoh, tapi saya datang sebagai wakil bahagian untuk mesyuarat itu.

"Dia nak tarik telefon bimbit saya di tangan, saya sempat tarik balik," jelasnya.

Dakwa Abdul Latif, pertukaran lokasi mesyuarat dilakukan pada saat akhir tanpa memberikan notis kepada UMNO Bahagian itu.

"Bila saya datang ke rumah anak Idris, saya dapati rumah itu kosong tanpa kehadiran ahli UMNO cawangan. Jiran bagi tahu pindah tempat di rumah Idris," jelasnya lagi.

Mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kecil itu bagaimanapun ditangguhkan susulan kejadian terbabit.