MELAKA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan, beliau hanya mengetahui nilai hartanah yang ditawarkan oleh kerajaan terhadapnya bernilai RM100 juta selepas dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pembangkang dalam Sidang Parlimen pada Khamis.

Menurut bekas Perdana Menteri keenam itu, berdasarkan peruntukan, beliau diberikan tiga pilihan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 2018 untuk dipertimbangkan.

"Jadi saya ambil pilihan itu (tanah), saya tak tahu nilai sebenar tanah itu. Itu bukan kerja saya untuk menilai tanah, itu kerja pihak berkuasa dan buat keputusan," jelasnya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Kata Najib, beliau memilih tanah terbabit untuk dibina kediamannya sepertimana dilakukan bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini.

"Sebab kesesuaian tapak, macam beli tanah apabila ia sesuai serasi dengan kehendak kita. Kalau tanah itu tersorok macam mana kita nak pilih tanah itu.

"Macam semua bekas Perdana Menteri, ia untuk dijadikan kediaman… ada juga bekas Perdana Menteri yang jual tanah, saya tahu," jelasnya lagi.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Najib turut meluahkan kekecewaannya kerana menjadi mangsa siri serangan pelbagai pihak dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sekalipun, tidak disenaraikan sebagai calon di PRN Melaka mahupun menjawat jawatan tertinggi dalam UMNO atau Barisan Nasional (BN), namun, Najib hairan kenapa beliau menjadi sasaran pihak lawan.

"Seperti yang saya jelaskan menerusi posting (hantaran) di Facebook saya semalam, saya perhatikan skrip lama untuk mengasut rakyat membenci saya digunakan sekali lagi, kali ini ketika PRN Melaka.

"Saya sekali lagi dijadikan sasaran utama propaganda pihak lawan, cerita permohonan saya diberi kediaman dibawah Akta Kerajaan yang saya buat pada 2018 selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) dikeluarkan menjelang hari mengundi PRN Melaka," jelasnya lagi.

BACA: PRN Melaka: Najib tolak tawaran hartanah RM100 juta

Kekesalan Najib juga berganda apabila isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut tidak terlepas daripadan menjadi sasaran di media sosial. 

"Tiba-tiba sahaja diberi nilai RM100 juta, sedangkan ianya tanah kerajaan sedia ada diberi kepada saya untuk saya pilih dibawah akta kerajaan, bukan suruh kerajaan belanja untuk beli tanah dan bagi kepada saya.

“Saya dan isteri juga dijadikan bahan sedangkan saya bukan calon di Melaka. Muka saya tiada di poster di seluruh negeri Melaka, kenapa pula benci saya dalam PRN Melaka?" soal Najib lagi.

Soal Najib lagi, dakwanya hasutan yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk membencinya itu tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat.

"Pilihan Raya Negeri Melaka, yang diserang saya pula, apa pihak lawan fikir warga Melaka dapat membenci saya? Apa rakyat dapat membenci saya selepas PRU14?

"Ekonomi selepas PRU14 lebih bagus? Aset negara bertambah? Dividen, tabung simpanan menaik? Kesejahteraan hidup rakyat selesa? Negara lebih stabil? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing meningkat? Janji manifesto ditepati?" katanya lagi.