KUALA LUMPUR: Bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, pakar mencadangkan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak diadakan selama satu hari seperti kebiasaannya, sebaliknya memanjangkan tempoh itu kepada dua atau tiga hari.

Cadangan itu disuarakan Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Prof Madya Ts Dr Shamsul Bahari Shamsudin yang menyuarakan kebimbangan wujudnya gelombang baharu COVID-19 melalui pilihan raya tersebut.

Menurutnya, pemanjangan tempoh hari pengundian mampu mengelakkan kesesakan dan mengurangkan risiko pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

BACA: PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR

BACA: PRN Melaka: SOP diperhalusi, elak kesesakan hari mengundi - SPR

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR

“Kita panjangkan sedikit tempohnya, dengan pemantauan dan sebagainya. InsyaAllah, tidak ramai orang akan berpusu-pusu ke pusat pengundian.

“Saya yakin sasaran 70 peratus itu boleh dicapai sekiranya panjangkan sedikit tempoh pengundian itu,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI.

Tambah beliau, buat masa ini, perkara paling utama yang perlu diberi perhatian dalam PRN Melaka adalah pematuhan kepada SOP yang akan ditetapkan kelak.


PRN Melaka | Menghadapi pilihan raya ketika pandemik

“Pematuhan itu sangat penting, ia antara perkara yang perlu diberi perhatian khusus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan memastikan semua yang hanya mempunyai lengkap dos sahaja mungkin boleh dipertimbangkan untuk hadir dalam pilihan raya ini.

“Yang mana belum ada suntikan dos vaksin, mungkin perlu difikirkan sama ada buat undian pos atau sebagainya. Untuk berkumpul, mereka datang di tempat ramai orang adalah sangat tidak digalakkan.

“Tidak boleh juga adakan sebarang aktiviti melibatkan kumpulan, terutamanya kumpulan ahli politik. Apabila mereka berada dalam satu persekitaran amat padat, antara mereka juga boleh menimbulkan risiko jangkitan,” ujarnya.

Terdahulu, SPR mensasarkan kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi yang layak, akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.


Melaka Memilih | SPR tetapkan pengundian pada 20 November

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik COVID-19 yang belum berakhir.

SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

Katanya lagi, suruhanjaya itu juga telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.