ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, menzahirkan harapan parti itu diberi peluang untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Bagaimanapun, menurutnya bilangan kerusi berkenaan masih belum dimuktamadkan memandangkan ia bergantung kepada rundingan parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang dilakukan sebelum hari penamaan calon pada 8 November ini.

"Saya tak dimaklumkan lagi (secara rasmi) berapa (kerusi) Pas nak bertanding (dalam PRN Melaka) tetapi saya baca kenyataan YB Datuk Seri Timbalan Presiden (Tuan Ibrahim Tuan Man) kata Pas mungkin bertanding lima kerusi.

"Tetapi itu bergantung kepada hasil rundingan (PN) bukanlah muktamad... saya ingat perkara ini akan dimuktamadkan sedikit masa lagi sebelum (hari) penamaan calon, 8 November.

"Saya (juga) harap Pas diberi kerusi yang memadai tidak terlalu sikit dan tidak terlalu banyak, lima itu saya rasa paling munasabah.

"(Pas sebelum ini bertanding 24 kerusi) pada masa itu semua tiga penjuru, saya harap berlaku dua penjuru (satu lawan satu) sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.


PRN Melaka: Bersatu, Pas dan Gerakan guna lambang PN

Jumaat lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan parti itu berkemungkinan besar akan bertanding di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka.

Menurutnya, secara dasarnya perkara itu sudah dipersetujui semua parti komponen dalam gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata pecahan kerusi antara parti komponen PN bergantung kepada keadaan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PN.