ALOR SETAR: Pas tidak berhadapan dengan sebarang masalah berkempen dalam norma baharu berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khususnya bagi memperkenalkan calon yang dipertaruhkan di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini adalah kerana perkara utama dalam kempen kali ini adalah prestasi yang telah dan sedang ditunjukkan kesemua parti yang bertanding bagi mendapatkan undi rakyat di negeri Melaka.

"Saya rasa kita dapat memperkenalkan calon melalui media sosial dengan baik… saya rasa semua parti di Malaysia, orang tahu prestasi mereka di tahap mana, (siapa) calon (juga adalah) satu (perkara penting).

“ (Tetapi) yang banyak (berlaku sebelum ini) pengundi akan pilih parti juga (walaupun) calon (adalah) nombor satu tetapi prestasi parti orang semua sudah (tahu) rekod, PH (Pakatan Harapan) tahap mana, Pas tahap mana, UMNO tahap mana, Gerakan tahap mana.

"Saya rasa ini akan memberi penentu kepada calon yang akan menang, saya rasa Pas tidak ada masalah untuk perkenalkan calon (melalui kempen norma baharu), kita sudah guna semua kaedah yang sesuai yang dibenarkan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Sanusi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Executive Talk Perundangan Perancangan bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah  di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, pertembungan membabitkan calon Pas dan UMNO dalam PRN Melaka tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua parti itu melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Tambahnya, Pas turut menyokong penuh tindakan yang dibuat Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyerang peribadi mana-mana calon dari parti lawan yang bertanding didalam PRN kali ini.

"Tiada apa (masalah) sekarang… (MN) okey sahaja, kita (Pas dan Perikatan Nasinal) bagi tawaran kita, dia (BN dan UMNO) pun bagi tawaran dia, rakyat (nanti) buat pilihan.

"BN ada sebut nak elak dari kempen kutuk mengutuk keji mengeji, Pas (memang) tak buat kerja itu, saya rasa elok (tindakan itu), jangan guna medan (kempen) itu untuk hentam menghentam, rakyat sebenarnya sudah tahu semua, apa yang berlaku dulu, sekarang, sebelum ini, semua rakyat tahu, kes mahkamah, kes siapa semua orang tahu, jadi tak payah duduk tikam lagi," tegas Sanusi,

Pada Rabu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada calon PRN Melaka berkempen sehingga 20 November ini.

Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, SOP yang diputuskan agak keterlaluan sehingga menyukarkan calon berkempen.