BANDAR HILIR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media sebentar tadi.

“Tarikh-tarikh PRN DUN Melaka ke-15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober (Isnin), tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20 November 2021 (Sabtu),” jelasnya.

Jelasnya lagi, sebanyak 28 pengurus pilihan raya dilantik dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.

Manakala bagi pemantauan pula SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.

"Pengunaan daftar pemilih terkini sehingga 3 Oktober 2021 melibatkan 495,196 orang pengundi.

"SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi. SPR memohon kerjasama semua pihak parti politik dan media dalam mengalakkan pengundi keluar mengundi," jelasnya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR

[TERKINI] Sidang media SPR mengenai PRN Melaka

Pada masa sama tambah Abdul Ghani, garis panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.