MELAKA: Datuk Seri Idris Haron menegaskan keputusannya untuk tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang disandangnya dalam Pilihan Raya Negeri (Melaka) pada 20 November depan.

Sebaliknya, kerusi DUN itu, kata beliau, akan diserahkan kepada anak tempatan.

Dalam masa sama, Idris menjelaskan kesediaannya untuk bertanding di mana-mana kerusi memandangkan beliau kini tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

"Tentunya, jika tidak ada masalah saya akan pilih untuk bertanding di kerusi DUN lain, pengemis tidak boleh memilih," kata Idris dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.

Idris bersama tiga lagi wakil rakyat Melaka yang menarik diri daripada terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri sehingga menyebabkan kerajaan negeri runtuh turut memberitahu, mereka berempat belum mengemukakan sebarang permohonan kepada mana mana parti.

BACA: PRN Melaka: Norhizam Hassan Baktee tidak dicalonkan - Majlis Presiden PH

Menurut Idris, beliau bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, bagaimanapun, sudah bertemu dengan ramai pemimpin parti politik.

"Kami belum mengemukakan permohonan kepada mana-mana pihak, kami telah bertemu dengan banyak pemimpin parti dan mereka menerima kami dan sangat menyokong perjuangan kami.

"Semuanya mendorong kami untuk terus maju dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan," jelas Idris.

Mengenai peluang untuk memenangi PRN dan sekali gus membentuk kerajaan negeri,  bekas Ketua Menteri Melaka ke-10 itu berkata, kerjasama secara kolektif perlu dilakukan oleh 15 bekas ADUN di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Memenangkan kembali negeri Melaka adalah amat penting… ia seharusnya memerlukan kerjasama kolektif, bukan perseorangan, 15 bekas ADUN diperlukan untuk bentuk kerajaan.

"Buat masa ini, kita tunggu sehinggalah kita melintasi jambatan itu," jelas Idris lagi.

Terdahulu, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa PH tidak akan menyenaraikan Norhizam Hassan sebagai calon di bawah gabungan itu dalam PRN Melaka pada 20 November depan.