MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi kesihatan rakyat Melaka.

Itu permintaan rakyat negeri itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Melaka pada 20 November depan.

Menurut pekerja swasta, Jamaluddin Jakar, 38, harapan disandarkan kepada pihak berkuasa agar setiap SOP dipatuhi oleh calon mahupun jentera sepanjang PRN diadakan.

Sebagai anak jati Melaka, Jamaluddin berdoa semoga tiada gelombang baharu COVID-19 akan tercetus ketika proses demokrasi itu berjalan.

"Kalau boleh pihak berkuasa macam SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan terlibat ambil tindakan yang betul, jaga SOP dengan ketat," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.

Kata Jamaluddin, meskipun PRN negeri bakal diadakan bulan depan, namun, dia masih belum bercadang untuk keluar mengundi kerana risaukan keselamatannya.

"Saya tidak mahu (kejadian) berulang (seperti) PRN Sabah... bagi saya dengan kes COVID-19 masih belum reda, saya kena fikir dua tiga kali untuk mengundi.

"Sebab peperangan menentang COVID-19 (kita) belum betul-betul menang, takut kes meningkat semula. Saya tak boleh bagi kata putus… akan fikirkan macam mana nanti," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Azli Sulaiman, 31, berkata, tindakan yang adil perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP sepanjang PRN Melaka berlangsung.

"Kita mesti ambil tindakan tegas, sebelum ini di Sabah berapa bulan kita tolak gaji (sebab tiada kerja), ada pulak yang kena buang kerja.

"PDRM kena ambil peranan sangat penting, jangan ambil lewa. SOP sangat penting, harap polis ambil tindakan tegas kepada mana mana calon bertanding, walaupun dia siapa jangan ambil tindakan yang berbeza," katanya lagi.

Bagi Mohd Azli, semua pihak terutama jentera parti politik serta calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu kelak perlu memainkan peranan masing-masing demi kesejahteraan rakyat negeri Melaka.

"Harap SOP kali ini lebih ketat (dan) semua pihak kena bagi kerjasama, main peranan penting untuk elak penularan COVID-19. Harap SPR keluarkan SOP ketat untuk PRN Melaka kali ini," katanya lagi.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media pada Isnin menetapkan PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November.

SPR turut menetapkan 8 November depan bagi tarikh penamaan calon sementara undian awal akan dijalankan pada 16 November.

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.