SHAH ALAM: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga penjuru apabila Perikatan Nasional (PN) juga mengesahkan akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 15 kerusi sementara Pas meletakkan calon di lapan kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula mempertaruhkan calon di lima kerusi.

Dari segi latar belakang calon, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebanyak 43 peratus wajah yang ditampilkan berusia 40 tahun ke bawah dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi serta komited demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Rekod kerajaan PN mentadbir negara boleh dijadikan rujukan utama oleh pengundi negeri Melaka. Kita prihatin kepada nasib rakyat dan melaksanakan apa jua perkara yang boleh membantu rakyat menghadapi waktu yang paling sukar dalam hidup mereka.

“Saya tidak berniat untuk mendabik dada, tetapi lihatlah kejayaan yang kita capai hari ini dalam pengurusan
pandemik dan bantuan untuk rakyat hasil daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian sewaktu menyempurnakan Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional PRN Melaka di sini, pada Sabtu.

Antara nama besar yang mencuri tumpuan dalam PRN Melaka pada 20 November ini ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang diletakkan PN di kerusi Tanjung Bidara serta Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Telok Mas).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, tujuan PN mengambil bahagian dalam PRN Melaka adalah untuk menawarkan kepimpinan dan khidmat bakti kepada seluruh rakyat negeri Melaka tanpa mengira kaum dan agama.

Ini, tegas beliau, selaras dengan asas penubuhan PN sebagai gabungan parti-parti politik Bumiputera dan pelbagai kaum yang melambangkan perpaduan semua golongan rakyat di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili masyarakat Bumiputera dan pelbagai kaum di negara ini berpotensi untuk membentuk budaya dan amalan politik baharu yang lebih bersih, stabil, harmoni dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.

“Berdasarkan kajian yang saya lihat dan pemerhatian saya sendiri ketika turun ke negeri Melaka, Insya-Allah, pengundi di negeri Melaka juga akan memberikan sokongan yang luar biasa kepada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Senarai penuh calon Perikatan Nasional:

* N01 KUALA LINGGI - Aziah Mohd Sa’ad (Pas)

* N02 TANJUNG BIDARA - Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu)

* N03 AYER LIMAU - Dr Nordina Abd Latif (Bersatu)

* N04 LENDU - Mejar (B) Abdullah Mahadi (Bersatu)

* N05 TABOH NANING - Abu Hashim Abdul Samad (Pas)

* N06 REMBIA - Zamzuri Arifin (Bersatu)

* N07 GADEK - Mohd. Amir Fitri Muharam (Bersatu)

* N08 MACHAP JAYA - Tai Siong Jiul (Bersatu)

* N09 DURIAN TUNGGAL - Ja’afar Othman (Pas)

* N10 ASAHAN - Dhanesh A/L Basil (Gerakan)

* N11 SUNGAI UDANG - Dr Mohd Aleef Yusof (Bersatu)

* N12 PANTAI KUNDOR - Mohamad Ridzwan Mustafa (Bersatu)

* N13 PAYA RUMPUT - Muhammad Faris Izwan Mazlan (Bersatu)

* N14 KELEBANG - Bakri Jamaluddin (Pas)

* N15 PENGKALAN BATU - Mohd Azrudin Md Idris (Bersatu)

* N16 AYER KEROH - Datuk Seri Micheal Gan Peng Lam (Gerakan)

* N17 BUKIT KATIL - Muhammad Al Afiz Yahya (Pas)

* N18 AYER MOLEK - Mohd Fadly Samin (Bersatu)

* N19 KESIDANG - Patrick Ng Chin Kae (Gerakan)

* N20 KOTA LAKSAMANA – Fong Khai Ling (Gerakan)

* N21 DUYONG – Datuk Kamarudin Sedik (Pas)

* N22 BANDAR HILIR - Clarice Chan Ming Wang (Gerakan)

* N23 TELOK MAS - Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu)

* N24 BEMBAN - Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bersatu)

* N25 RIM - Azalina Binti Abdul Rahman (Bersatu)

* N26 SERKAM - Ahmad Bilal Rahaudin (Pas)

* N27 MERLIMAU - Abd Alim Shapie (Pas)

* N28 SUNGAI RAMBAI - Muhammad Jefri Safry (Bersatu)