AYER KEROH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan Pas dalam membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO.

Jelasnya, perbincangan telah dijalankan sebelum ini di bawah gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.

"Saya serahkan kepada Pas, kami dah bincang panjang dalam mesyuarat PN, bagi saya apa pun Pas nak putuskan itu hak mereka.

"Saya harap Pas berikan pertimbangan semasak-masak supaya strategi menghadapi PRN tepat, tidak timbul situasi tidak ketentuan mungkin beri kesan di Melaka," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai tawaran UMNO kepada Pas, jelas Muhyiddin, Bersatu tidak terkesan dengan keputusan itu.

Malah ujarnya, fokus PN ketika ini adalah untuk menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.

"Soal sama ada keputusan orang lain buat, bagi saya tidak terkesan kerana saya sedar dalam UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dah buat keputusan tak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

"Kita tak perlu berpandu lebih daripada itu, kita lebih gariskan rancangan buat persiapan penting menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.

"Ini bukan soal Pas, ini soal Perikatan Nasional kena melihat kami bukan sebagai Pas, Bersatu dan Gerakan. PN ada dasar, prinsip asas, itu harus dihargai dan dihormati," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh pada Sabtu.