KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan berpeluang besar memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan 20 November ini.

Namun kata penganalisis politik, Dr Muhammad Tawfik Yaakub, syaratnya adalah UMNO, Bersatu dan Pas gagal menemui titik tengah memeterai persetujuan untuk bekerjasama sebagai sebuah unit dalam pertandingan di bumi Hang Tuah itu nanti.

“Saya lihat kalau berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru, maka PH mempunyai potensi besar untuk kembali mentadbir Melaka.

“Tapi jika kerjasama melalui rundingan perbincangan yang boleh dikemukakan oleh Bersatu-Pas-UMNO, maka saya lihat peluang itu cerah kepada ketiga-tiga parti tersebut setelah kerjasama digembleng sebelum PRN Melaka.”

Muhammad Tawfik melihat PRN Melaka ini sebagai sebuah prelud atau cerminan kepada politik Malaysia menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ini kerana, katanya, segala bentuk percaturan di Melaka akan menjadi asas kepada rupa bentuk pertentangan di peringkat nasional kira-kira dua tahun akan datang.

“Andai kerjasama itu berjaya diketengahkan, maka dalam PRU 15 mereka mempunyai peluang yang lebih besar dan cerah untuk menarik sokongan dan pengaruhi rakyat kerana melalui pembuktian serta track record yang pernah ditunjukkan dalam PRN Melaka.

“Namun jika ini gagal, maka ini akan menyebabkan PH berpeluang akibat daripada kelemahan musuh politik mereka.”

Muhammad Tawfik berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Tonton di sini:


PRN Melaka: PH akan menang, sekiranya…


Agenda AWANI: Melaka Memilih | Persaingan bermula