TELOK MAS: Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Ahad ini.

Pengerusi PN Negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, manifesto yang bakal dilancarkan itu akan merangkumi semua aspek secara holistik dengan meliputi segenap lapisan masyarakat.

“Perikatan Nasional akan melancarkan manifesto pada 14 november iaitu Ahad ini pada pukul 5 petang di Shah Alam yang akan disempurnakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tentunya menifesto ini akan merangkumi semua golongan termasuk belia, wanita, warga emas atau sesiapa sahaja tidak kira kaum yang mana kita akan memastikan manifesto ini merupakan bukti bahawa PN adalah wadah perjuangan yang sebenar untuk rakyat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al-Falahin, Alai di sini pada Jumaat.

Mengulas soal perjalanan kempen katanya, melihat sentimen pengundi beliau percaya rakyat bakal memberi mandat kepada PN untuk mentadbir kerajaan negeri.

SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG PRN MELAKA DI SINI



“Setakat ini, maklum balas saya terima rata-rata berpuas hati dengan calon yang disenaraikan oleh PN untuk PRN kali ini memandangkan PN menampilkan hampir 50 peratus belia atau orang muda dibawah 40 tahun.

“Daripada jumlah semua 28 calon juga lebih 90 peratus mempunyai kelulusan tinggi dan ini sesuatu pendekatan yang cukup segar yang dapat menarik pengundi di Melaka ini,” tambahnya. 

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang dilaporkan berkata parti itu hanya akan bekerjasama dengan Pas tetapi tetapi tidak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya memenangi PRN edisi kali ini, jelas Mohd Rafiq itu hanya pandangan UMNO.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, terpulang kepada UMNO untuk membuat keputusan

“Itu hak UMNO untuk tidak menerima Bersatu dan kita pun dalam parti apabila UMNO bertindak tidak mahu Bersatu, Pas kekal terus bersama PN yang mana kita tidak pernah menunggu UMNO untuk bersetuju bersama kita.

“Walaupun pada peringkat awal kita membuka tangan seluasnya, tetapi apabila mereka menolak bukan sahaja Bersatu, tetapi parti dalam PN sebab itu kita bertanding 29 kerusi untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PN serius untuk menjadi sebuah parti pemerintah mahupun kerajaan,” tambahnya.