KUALA LUMPUR: Rakyat Melaka perlu berani membuat perubahan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PN menampilkan calon yang mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik sekiranya dipilih pada PRN itu nanti.

"Pas tidak boleh bersendirian dan membuat perubahan. Kita perlu bergabung dan gabungan yang dipilih mestilah besar, kuat serta mampu membuat pembaharuan.

"Justeru, Pas memilih bersama PN. Saya menyeru kepada rakyat Melaka untuk mengundi simbol PN dalam PRN Melaka. Inilah simbol kami bersama dengan parti Bersatu dan parti lain yang bergabung dengan kita.

"Kita mengharapkan rakyat Melaka menunjukkan sikap yang berani untuk membuat pembaharuan memilih PN," katanya dalam satu video di laman Facebook pada Ahad.

Menurutnya, bagi penganut Islam, politik adalah sebahagian daripada Islam dan menjadi satu tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang baik.

"Rakyat perlu memilih pemimpin yang dipercayai dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Pilihan raya juga adalah penentu masa depan kita termasuk PRN Melaka.

"PRN bukan perkara yang boleh diambil sambil lewa, pilihan raya adalah satu langkah untuk menyelamatkan negeri dan rakyat," ujarnya.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Rakyat Melaka perlu berani buat pembaharuan pilih PN