AYER KEROH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan gabungan itu akan memperkenalkan calon muda untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.

Jelasnya, calon-calon terbabit terdiri daripada pelbagai kaum serta berkelayakan untuk ditawarkan kepada rakyat negeri Melaka. 

"Sebelum itu bila dah sepakat, kita akan perkenalkan calon-calon kita.

"Saya bagi jaminan calon-calon (PN) yang berkelayakan, sebahagian besar orang-orang muda lelaki dan wanita, daripada semua kaum dan saya jangka akan dapat sokongan," jelasnya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi DUN di antara parti komponen PN, Muhyiddin berkata perkara itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November depan.

"Itu bagi saya harus terima sebagai satu cabaran dan akan usahakan menawarkan kepimpinan untuk negeri Melaka.

"Kita dah bincang tapi belum lagi selesai, saya jangkakan akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon," katanya.

Ujar Muhyiddin lagi, pembahagian kerusi dalam PN adalah adil dan saksama.

Mengenai cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menggunakan simbol Pas, ujar Muhyiddin perkara itu adalah pandangan peribadi.

Jelasnya, keputusan telah dibuat dalam mesyuarat PN untuk menggunakan satu logo dalam berdepan PRN Melaka.

"Dalam sistem demokrasi ini semua orang boleh bagi pendapat, tapi saya nak jelaskan dalam PN dan beberapa mesyuarat, kita dah sepakat bahawa parti-parti dalam gabungan ini akan gunakan satu simbol sahaja.

"Itu keputusan, sama ada itu akan disokong oleh mana-mana pihak parti, itu soal kedua.

"Tapi dalam PN, itu keputusan kita, jadi pandangan lain-lain itu pandangan peribadi dan tidak mengikat kita membuat apa apa pendirian untuk pandangan peribadi, kita buat keputusan atas dasar keputusan bersama," kata Muhyiddin lagi.