AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merayu sokongan masyarakat Cina untuk memberi peluang terutamanya kepada calon parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berbaki kurang tiga hari lagi.

Ini kerana tegas beliau, suara kepelbagaian bangsa dan kaum diperlukan dalam setiap struktur pentadbiran kerajaan untuk membentuk sebuah negeri yang stabil.

“Kita (BN) sudah ada rekod yang baik sejak 60 tahun dan selama ini BN merupakan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil kerana di dalamnya terangkum pelbagai kaum.

“Saya melihat calon diketengahkan MCA kebanyakannya merupakan muka bahru, tetapi saya yakin walaupun baharu mereka sudah lama berkhidmat dan bertugas seperti biasa dan sememangnya disenangi rakyat terutamanya masyarakat Tiong Hua di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan calon-calon MCA yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, sekiranya ditakdirkan BN berjaya memperoleh mandat rakyat dan membentuk kerajaan negeri pada 20 November ini, menjadi satu kerugian jika tiada wakil MCA dalam struktur kerajaan kerana tidak boleh membawa suara masyarakat itu secara terus.

“Kalau kita dapat bentuk kerajaan nanti, saya fikir masyarakat kaum Tiong Hua mesti ada wakil di dalam kerajaan yang bakal dibentuk… kita mahukan suara daripada kaum Tiong Hua melalui MCA, maka memudahkan lagi kerajaan untuk menjalankan pentadbiran dan pengurusan.

“Jadi, saya mohon sekali lagi kepada pengundi terutamanya kaum Tiong Hua dapat memberi undi kepada calon MCA yang telah pun diketengahkan kerana saya percaya mereka boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” tambah Sulaiman lagi.

Pada PRN Melaka 20 November ini, BN Melaka mempertaruhkan nasib di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tujuh daripadanya merupakan calon MCA di DUN Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir, Klebang, Bemban, Kota Laksamana dan Machap Jaya sementara satu kerusi MIC dipertaruhkan di Gadek.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh hari penamaan calon, hari pengundi awal pada 16 November dan hari mengundi pada 20 November ini.

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 orang pengundi.