KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kerana peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri menjelaskan, keyakinan rakyat Melaka terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri juga membuatkan mereka memilih BN untuk menjadi kerajaan negeri.

Selain itu, beliau menjelaskan rakyat Melaka juga memilih untuk memberikan kemenangan besar kepada BN kerana sumbangan yang dibuat oleh Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

"Saya nak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tok Mat (Mohamad Hasan) yang bertungkus lumus mengemudi parti sewaktu PRN Melaka.

"Kita lihat sebelum ini ketika beberapa Pilihan Raya Kecil juga, boleh dikatakan Tok Mat memainkan peranan yang baik mengemudi BN untuk mencapai kemenangan.

"Selain itu, saya rasa kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri juga mempengaruhi pengundi untuk memilih BN.

"Walaupun Ismail baru beberapa bulan menjadi perdana menteri, namun rakyat lebih yakin dengan kepimpinan beliau dan ia terbukti dengan kemenangan BN di Melaka," katanya kepada Astro AWANI.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] BN menang dengan majoriti dua pertiga kerusi

Pada PRN Melaka yang diadakan semalam, BN berjaya membentuk kerajaan setelah memperolehi majoriti selesa dengan kemenangan 21 daripada 28 kerusi Dun Melaka.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya memperolehi lima kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat dua kerusi.

BN juga berjaya merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi PH antaranya DUN Machap Jaya, Gadek, Pengkalan Batu dan Paya Rumput.