MELAKA: Datuk Norhizam Hassan Baktee enggan mengulas mengenai keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meletakkan beliau sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu hanya memaklumkan beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu “nanti”.

“Nanti saya komen, semua wartawan hubungi saya sekarang ini,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Majlis Presiden PH memaklumkan Norhizam tidak akan menjadi calon PH pada PRN nanti selepas menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara tersebut.

BACA: PRN Melaka: Norhizam Hassan Baktee tidak dicalonkan - Majlis Presiden PH

Norhizam sebelum ini bersama tiga lagi bekas ADUN menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.