MASJID TANAH: UMNO mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu hari ini.

Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Seri Mohamad Hasan juga berkata, parti itu setakat belum membincangkan soal calon kerana ianya diserahkan melalui rundingan di peringkat bahagian.

“Hari ini DUN Melaka telah bubar, jadi kita tidak lagi pandang ke belakang... apa yang perlu kita hadapi ialah PRN negeri yang (akan) diadakan, terpulang tarikhnya ditentukan Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR).

“Tadi telah diminta mulai esok, jentera di peringkat peti undi mesti bergerak dan membuat persiapan menghadapai PRN ini yang mana kesiapsiagaan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) perlu dibuat.

“Calon juga akan ditentukan melalui rundingan di peringkat bahagian dan sebagainya yang akan diputuskan kepimpinan pusat kerana watikahnya akan disokong oleh presiden parti,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO Melaka malam ini.