SUNGAI UDANG: UMNO menepis dakwaan lambat mengatur strategi termasuk memutuskan soal kerjasama dengan rakan parti meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah ditetapkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti telah bersiap sedia dari pelbagai aspek untuk menghadapi PRN ini dan hanya soal calon serta kerjasama belum dimuktamadkan.

“Kami dah bersedia sejak bulan lepas yang mana dari segi persiapan kami sudah siap, cuma nak menentukan (kerjasama) dengan siapa sahaja. Itu tidak timbul persoalan lambat atau cepat.

“Apabila kita masuk dalam pilihan raya, mestilah hasratnya untuk menang, kita berlawan untuk menang, berusaha untuk menang. Jadi kita mesti ada keyakinan dan semangat bahawa parti boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga akan mengadakan mesyuarat Khamis ini dan memuktamadkan samada bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru ataupun bekerjasama dengan parti lain.

“Kita belum buat keputusan penjuru mana sama ada ke kiri, kanan, depan, belakang, ataupun berapa penjuru. Keputusan dengan siapa kita nak berunding belum muktamad. Dua perkara sahaja yang belum (muktamad), yang lain sudah selesai.

“Saya ingin maklumkan pada Khamis ini MKT akan mengadakan mesyuarat ntuk membuat keputusans selanjutnya mengenai PRN ini. Jadi penjuru mana atau parti mana akan diputuskan selepas mesyuarat itu nanti,” tambahnya.