KUALA LUMPUR: UMNO akan berusaha untuk mengelak pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Majlis Tertinggi parti itu telah memberikan mandat kepada beliau untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN itu, sudah pasti ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan atau faedah daripadanya.

"Memang mereka tunggu sahaja ingin melihat supaya parti kerajaan ini bertembung, mereka yang untung, ibarat antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di sini, hari ini.

UMNO sebelum ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal. - BERNAMA