KUALA LUMPUR : Keputusan Perikatan Nasional (PN) meletakkan golongan wanita sebagai calon Ketua Menteri Melaka bakal mengubah landskap politik negara.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Sara Chinnasamy berkata, perkara itu membuktikan keterbukaan parti politik dalam memberi ruang kepada golongan wanita untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

“Kita lihat penyertaan wanita dalam politik negara masih melibatkan peratus yang agak kecil memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Ini merupakan landskap baharu politik negara bukan setakat di Melaka malah mungkin di negeri-negei lain pada masa akan datang,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Tambahnya, jika melihat contoh di negara luar, perkara itu bukan lagi satu perkara yang asing menyaksikan beberapa golongan wanita yang turut menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Sebelum ini kita lihat beberapa wanita di negara lain melakar sejarah memegang jawatan penting dan sebagainya.

“Apa yang berlaku di Melaka ini bukti keterbukaan dan kematangan politik dalam usaha mengadaptasi politik baharu di negara ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, PN menamakan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri negeri itu sekiranya memperoleh mandat pada 20 November ini.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan itu juga memberi gambaran jelas bahawa ruang diberikan tanpa mengira soal jantina bagi seseorang pemimpin yang benar-benar layak.