LAHAD DATU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengucapkan tahniah kepada Parti Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh rakyat Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Namun begitu, Shafie menyifatkan permainan politik antara Perikatan Nasional dan BN agak mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, kedua pihak terutama parti UMNO dan Bersatu tidak sebulu di gelanggang politik dan bertembung dalam PRN Melaka, tetapi mereka masih bersatu di dalam kepimpinan di peringkat Persekutuan.

“Kita ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional yang telah memenangi PRN Melaka, apa yang penting ialah pastikan supaya apa yang diharapkan dan dijanjikan itu dapat ditunaikan.

“Namun, rakyat jadi keliru hubungan mereka tidak begitu mantap (UMNO-Bersatu) … mereka tiba-tiba bertembung di Melaka tetapi di peringkat Persekutuan mereka ini masih ‘bersatu’. Ini sangat mengelirukan akar umbi,” ujar Shafie.

Shafie berkata demikian kepada Astro AWANI selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Bahagian Silam di Lahad Datu pada Selasa.

Beliau berkata, pada mulanya rakyat menyokong gabungan UMNO dan Bersatu kerana nampak hala tuju mereka yang jelas, namun kini, dasar kedua-dua parti itu bertentangan dalam beberapa perkara.

Mandat kerajaan negeri Melaka menjadi milik  BN setelah disahkan selepas gabungan itu memperoleh majoriti apabila menangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Melaka pada Sabtu.