KALAU dalam istilah gusti, pertandingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini boleh diibarat seperti ‘Royal Rumble’.

Majoritinya di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih, malah ada kerusi yang menyaksikan enam calon bertanding.

Rakyat Melaka pastinya amat berbelah bahagi, dalam bergelut untuk bangkit kembali selepas dibadai pandemik, pening pula hendak pilih mana satu calon yang kena dengan akal dan hati.

Malam ini, Agenda AWANI menjadi pentas 'perlawanan pembukaan' PRN Melaka, tapi tidaklah bertumbuk bercakar, bukan juga penentuan kertas undi, cuma enam wakil daripada setiap parti bertanding tampil membuka 'buah' masing-masing.

Di penjuru biru, Barisan Nasional (BN) diwakili Setiausaha Negeri Melakanya, Datuk Mustafa Musa.

Di penjuru merah, Pakatan Harapan (PH) diwakili bekas Ketua Menteri Melaka yang juga calonnya di N.17 DUN Bukit Katil, Adly Zahari.

Di penjuru biru satu lagi, Perikatan Nasional (PN) menghantar srikandi, calon di N.02 DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula menampilkan Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Petarung baharu, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), tampil dengan calonnya di N.08 DUN Machap Jaya, Abdul Aziz Osani Kasim.

Akhir sekali, Gagasan Bebas diwakili oleh calonnya di N.26 DUN Serkam, Datuk Norazlanshah Hazali.

Tirai telah dibuka, lampu telah dinyala, pentas sama rata, penangan dari penjuru mana yang paling mengena di hati rakyat Melaka?

Tarikh 20 November bakal menjadi detik penentu. Penentu kepada kemenangan dan kekalahan di pentas demokrasi. Pentas yang semua tahu, yang menang tak menang semua dan yang kalah, tak kalah semua.

Saksikan Siaran Khas Tawaran Semua Parti PRN Melaka sempena 'Melaka Memilih' di Astro AWANI jam 9.30 malam ini.

Astro AWANI juga akan menayangkan siaran khas ini pada malam grand finale kempen PRN Melaka jam 8.30 malam Jumaat ini.