ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) dijangka selesai melaksanakan proses pengagihan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan kesemua parti komponennya pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, ketika ini, perbincangan berkenaan tertumpu kepada pembahagian kerusi di dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan yang masih belum selesai.

"Ada sedikit lagi (yang belum selesai) di Negeri Sembilan dan Selangor, (libatkan) dua (atau) tiga kerusi (Dewan Undangan Negeri), (tetapi bagi) Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, (saya hendak maklumkan, semuanya telah) selesai (dan kata sepakat telah dicapai),

"(Bagi) Selangor dengan Negeri Sembilan, kita akan beri masa kepada mereka (pimpinan PN negeri), hari Ahad (pimpinan PN) akan berjumpa balik (dan kita akan selesaikan), (ini) bukan pasal apa, ini kerana (kerusi itu) 'hang nak, aku pun nak', (jadi) kita (adakan) rundingan.

"Pada masa itu (perbicangan awal) minggu lalu, (agihan di kerusi berkenaan) tidak selesai lagi, (jadi) kita berjumpa, runding lagi, (sebenarnya) kerusi DUN terlibat itu tidak panas sangat, biasa sahaja, Insya-Allah (Ahad akan) selesai,” kata Sanusi.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Temasya Para Sukma XX, di Dewan Teratai, Kompleks Belia dan Sukan Kedah, di sini, , malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,perbincangan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai 80 peratus.

Menurut beliau, pembahagian kerusi DUN tersebut dibuat secara muafakat melibatkan seluruh parti komponen PN.

Katanya, perbincangan pusingan pertama tersebut juga berjalan dengan lancar dan teratur.