Jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk ditandingi PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhir bulan ini sangat kecil, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Sangat kecil, sangat kecil, untuk Keadilan (PKR) punya (jumlah kerusi) sangat kecil," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Sabah di sini, hari ini, semasa ditanya mengenai jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk PKR pada PRN itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan isu pembahagian kerusi akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon Sabtu depan bersama-sama parti-parti dalam Pakatan Harapan bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau perebutan kerusi.

Saifuddin Nasution berkata isu pembahagian kerusi turut dibincangkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam pertemuan tertutup di sini, hari ini.

"Kita perlu juga mengambil kira kawasan-kawasan yang ada penglibatan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Amanah atau DAP dan itu lumrah dalam mana-mana proses perundingan kerusi," katanya.

Saifuddin Nasution berkata PKR juga mengambil kira dan melihat keperluan untuk bertanding semula di kawasan yang pernah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pada PRU14, PKR bertanding di lapan kerusi dan menang di dua kerusi iaitu di Dewan Undangan (DUN) Api-Api dan DUN Inanam.

-- BERNAMA