Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan N.61 Segama bakal menyaksikan pertandingan lapan penjuru.

Pegawai Pengurus PRN bagi N.61 Segama, Suharpi Lasuddang mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima lapan kertas penamaan calon pada Hari Penamaan Calon, Sabtu.

"Kita telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan saya berpuas hati memutuskan bahawa tiada calon yang ditolak kertas pencalonannya," katanya di sini, hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat lebih kurang pukul 10.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Perdana di sini, ditutup pada jam 10 pagi.

Antara calon yang layak bertanding didahului oleh Datuk Mohd Basari Abdul Gapar (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Nicholas Voo Vune Kett (Parti Liberal Demokratik), Jikamisah Abdul Salam (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), Datuk Mohamaddin Ketapi (Parti Warisan Sabah), Kamarudin Mohmad Chinki (Parti Cinta Sabah), Kamis Burhan (Bebas), Aljen Johnny (Parti Perikatan Nasional), dan Sahidin Rabaha, dari (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Kerusi Dun N.61 yang baharu ini adalah antara 13 kerusi baharu menjadi rebutan memandangkan ia akan melakar sejarah menjadi bakal wakil rakyat pertama kawasan tersebut.