Parti Cinta Sabah (PCS) mengumumkan akan bertanding di semua 73 kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman, hari ini mengumumkan senarai 70 calonnya yang akan bertanding dan menegaskan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

Beliau juga berkata, PCS adalah parti tempatan yang tidak bergabung dengan mana-mana parti lain dan mampu memenangi hati pengundi.

"Kefahaman saya tentang parti tempatan adalah apabila kita semuanya adalah orang Sabah dan bertapak di Sabah.

"Kita tidak bekerjasama dengan DAP, kita tidak bekerjasama dengan PKR, kita tidak bekerjasama dengan UMNO, kita tidak bekerjasama dengan BERSATU... kami berdiri sendiri sebab semua kami adalah rakyat Sabah.

"Jadi kenapa kita mahu berkerjasama dengan parti lain sedangkan kita mampu untuk menubuhkan dan membentuk kerajaan... itu sahaja," katanya selepas majlis pengumuman calon-calon bagi 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, PCS bagaimanapun membuat pengecualian dan terbuka untuk menerima parti-parti tempatan yang mahu menyertai mereka.

"Pintu sentiasa terbuka kepada parti-parti tempatan untuk menyertai perjuangan kami jika mereka juga mempunyai visi dan misi yang sama.

"Kita mahu bekerjasama dengan parti-parti tempatan apabila mereka mahu memperjuangkan hak istimewa kita demi untuk negeri kita dan demi anak cucu-cicit kita dan saya alu-alukan mereka," katanya.

Tambahnya usaha memperjuangkan hak istimewa Sabah bersama parti-parti lain telah dibuat beliau sebelum ini, namun menemui jalan buntu kerana tiada kesungguhan daripada mereka.

"Inilah sebabnya kita di PCS teruskan perjuangan kita demi hak rakyat Sabah," katanya.