KUCHING: Semua pemerhati kini memberi tumpuan kepada sidang media khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN) Sarawak pada 24 November ini.

Melihat kepada tarikh sidang media khas SPR itu, rata-rata pemerhati politik menjangkakan PRN12 Sarawak akan diadakan pada bulan Disember.

Bagi Felo Kanan Majlis Profesor Kanan, Dr Jeniri Amir melihat hari pengundian akan diadakan pada 18 Disember dan tarikh paling praktikal setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk tempoh minimum 11 hari berkempen.

Manakala hari Sabtu katanya, dianggap sesuai kerana dikira hari paling santai dan tidak menganggu hari bekerja selain menghormati penganut agama Islam untuk solat Jumaat serta penganut agama Kristian bagi hari Ahad.

"Pada 4 Disember tidak mungkin terlalu singkat apatah lagi setelah mengambil kira perlu ada hari tempoh kempen minimum 11 hari dan pada Sabtu 25 Disember merupakan perayaan Krismas bagi masyarakat Kristian.

"Jadi ambil kira semua faktor dari segi tempoh hari berkempen, hari pengundian awal, penamaan calon maka tarikh yang paling relevan dan sesuai saya kira pada Sabtu 18 Disember," katanya ketika ditemui ASTRO AWANI.

Untuk rekod, sepanjang 11 PRN di Sarawak, hanya sekali sahaja pernah diadakan pada Disember iaitu pada PRN ke-4 tahun 1983.

Dr Jeniri turut menjangkakan lebih 230 calon akan bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

Selain itu, beliau berkata, pemilihan tarikh yang sesuai ini penting bagi memastikan calon yang bertanding bersedia dan jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah tinggi.

Ini kerana PRN-11 Sarawak menyaksikan jumlah pengundi yang hadir sebanyak 70.01 peratus walaupun dalam keadaan biasa.

Justeru cabaran untuk SPR kali ini adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 65 peratus masyarakat di Sarawak yang layak mengundi untuk hadir pada hari tersebut.

"Untuk memastikan SPR dapat mencapai satu sasaran pengundian yang tinggi, semua pihak harus memainkan peranan mengembleng segala kekuatan dan tenaga untuk memujuk serta memberi keyakinan kepada pengundi.

"Mana calon-calom muka baharu perlu memanfaatkan media sosial dan konvensional untuk mempromosikan diri dalam tempoh berkempen yang dijangkakan mempunyai SOP COVID-19 yang ketat," tambahnya.