SARIKEI: Pengunduran calon Bebas, Datuk Ali Biju daripada menyertai Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak adalah satu keputusan bijak demi keharmonian politik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, keputusan itu jelas memaparkan solidariti dan persefahaman daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah bersetuju untuk tidak meletakkan calon PN dalam pilihan raya pada 18 Disember depan.

“Keputusan beliau adalah sesuatu yang kita (GPS) hargai kerana kita sudah mempunyai persetujuan bahawa dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang mereka (PN) akan memberi sokongan kepada GPS.

“Oleh kerana Ali Biju sudahpun menarik diri dari pilihan raya ini, saya berharap beliau akan bekerja kuat untuk sama-sama membantu calon GPS bagi mencapai kemenangan dalam PRN12 kelak,” katanya.

BACA: Ali Biju umum tarik diri, tidak bertanding dalam PRN Sarawak

BACA: PRN Sarawak: Ali Biju bertanding Bebas, sudah tentu saya kecewa - Abang Jo

Demikian ulas Awang Tengah ketika ditanya pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Entabai pada Khamis.

Ali yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Khamis mengumumkan mengundur diri dari menyertai PRN12 sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian.

Menerusi kenyataan Ahli Parlimen Saratok itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS sekali gus menyeru agar semua pengundi di Parlimen Saratok memberi sokongan padu kepada semua calon GPS termasuk calon GPS di Krian Friday Belik.