PAGOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Disember ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan GPS yang dilihat mampu memenangi semua kerusi yang bakal ditandingi di negeri itu.

“Kita juga telah berbincang diperingkat Bersatu bahawa kita tidak akan bertanding dalam (PRN) kerana kita hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu (juga) hasrat pimpinan GPS.

“Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita (Bersatu) boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan GPS sedia bekerjasama dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti.

“Pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma diperingkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin dia (GPS) akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.

“Apapun kita tetap menghormati pandangan mereka dan atas dasar itu jentera parti kita yang berada disana akan tolong membantu untuk pastikan GPS capai kemenangan besar,”tambahnya.

Sebelum ini, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS kekal dengan keputusan bertanding di semua 82 kerusi DUN.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut berkata, Bersatu akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen PN dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.