KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP)menamatkan spekulasi siapa yang bakal bertanding menentang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian hari ini.

Tidak seperti dijangka, lawan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu bukan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, sebaliknya Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Yuan.

BACA: PRN Sarawak: Pertembungan abad ini, Dr Sim, Chieng Jen hampir jadi realiti

Jelas Kelvin,pertembungan antara dirinya dan Dr Sim adalah persaingan yang sihat.

“Penting untuk saya mewujudkan persaingan politik yang baik dan positif antara kami  atas dasar demokrasi yang juga baik untuk rakyat Batu Kawah.

“Kita (DAP) tidak akan memberikan laluan kepada beliau untuk mendapat kemenangan secara langsung.

"Kita mahu beliau merasakan tekanan daripada kita,” katanya majlis penyerahan watikah kepada calon DAP di Ibu Pejabat DAP Sarawak pada Khamis.

Penolong Setiausaha DAP Sarawak itu turut menegaskan, kehadirannya di Batu Kawah adalah signifikan dengan keperluan masyarakat untuk disegarkan dengan idea-idea dan harapan baharu untuk masa depan yang lebih komprehensif.

“Saya akan membawa idea-idea dan dasar-dasar yang diperlukan termasuk perspektif yang diperlukan yang kita bayangkan untuk rakyat di Batu Kawah dalam pelbagai aspek, pembangunan yang disasarkan untuk mereka,” katanya.

Kelvin menegaskan beliau boleh membawa suara rakyat di DUN Sarawak yang akan menyumbangkan kepada kemajuan negeri itu khususnya di DUN Batu Kawah.

“Saya boleh membawa suara saya ke DUN Sarawak supaya saya boleh menyumbang kepada hala tuju dasar dan juga kepada unjuran Sarawak.

“Saya telah melakukan yang terbaik untuk berkhidmat di kawasan saya serta prestasi saya di Parlimen,” ujarnya.

Jelas Kelvin, persaingan semasa pilihan raya ini bukanlah bermakna beliau tidak menghormati atau memandang rendah kepada Dr Sim.

“Saya sangat menghormati Dr Sim tetapi seperti yang saya katakan ini adalah persaingan politik yang positif dan juga baik,” katanya.