KUCHING: Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengakui terkejut apabila dua kerusi tradisi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan Mambong diwakili oleh calon Parti Demokratik Progresif (PDP) dan bukannya calon parti itu.

Mengakui sedikit kecewa pada awalnya, Dr Sim yang juga Presiden SUPP akur dengan keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Untuk rekod, bagi kerusi DUN Dudong GPS menamakan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan calon di kerusi DUN Mambong pula diwakili Datuk Jerip Susil.

“Pada awalnya kita kecewa sedikit tetapi kita menerimanya. Ini semua demi kemenangan GPS, atas semangat setiakawan,” katanya pada sidang media di pusat khidmat SUPP Batu Kawah pada Sabtu.

BACA: PRN Sarawak: Tiong King Sing sah bertanding di DUN Dudong

Bagaimanapun, pihak kini mahu memberi tumpuan kepada 18 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP dalam usaha memenangi kesemua kerusi.

Untuk rekod pada PRN11, Barisan Nasional (BN) Sarawak meletakkan calon langsung di kerusi Dudong dan Mambong.

Namun pemenang kerusi Dudong pada 2016 itu, Datuk Tiong Thai King bagaimanapun kemudiannya menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Bagi kerusi Mambong pula, penyandangnya Jerip menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas keluar dari PSB pada Oktober 2019.

Kata Dr Sim, setakat ini beliau mahu fokus kepada usaha mempertahankan kerusi di Batu Kawah yang bakal menyaksikan pertandingan lebih lima penjuru termasuk berdepan pencabar Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mewakili DAP.