SAMARAHAN: Sekurang-kurangnya 10 peratus wajah baharu bakal ditampilkan Gabungan Parti Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurut Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah perkara itu disandarkan berdasarkan pengalaman pada pilihan raya umum atau PRN sebelum ini.

"Mengenai pencalonan pasti dalam pilihan raya sama ada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum, pasti ada beberapa wajah baru.

Biasanya dari pengalaman saya yang lalu, sekurang-kurangnya 10 peratus calon yang akan dimasukkan adalah wajah-wajah baru," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Majlis Penyerahan Anugerah Kecemerlangan  Kepada Pelajar Cemerlang SMK Asajaya pada Rabu.

Tambah Abdul Karim, GPS yakin akan mendapat mandat rakyat pada PRN akan datang susulan komitmen gabungan itu membangunkan negeri dan kebajikan rakyat.

"Untuk GPS kami bersedia sama ada ia akan diadakan pada bila-bila masa sekarang atau awal tahun depan. Kami sudah bersedia. Bukan untuk mengatakan bahawa kita terlalu yakin. Kita tahu apa yang kita lakukan, dan kita sudah bersedia," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai tarikh PRN, Karim percaya Ketua Menteri Sarawak akan menilai keadaan dalam tempoh krisis kesihatan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Sudah tentu kita akan mengadakan pilihan raya tetapi pada masa ini kita masih dalam keadaan darurat yang hanya akan berakhir pada Februari tahun depan.

"Tetapi jika keadaan kelihatan baik dan wabak itu terkawal, Ketua Menteri boleh meminta persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan pilihan raya lebih awal," katanya.